Informasi Terkini

Koperasi Yayasan Usaha Maju Sabah Berhad telah menganjurkan Sambutan Hari Keluarga KO-YUM 2017 pada 29 April 2017 bertempat di Taman Awam, Teluk Likas, Kota Kinabalu dengan tema Keluarga Ceria Membawa Bahagia #YUMCeria.

AJK penganjur telah diketuai oleh En. Lois Petrus (Pengerusi) dan Pn. Kuirene Jacob (Setiausaha) serta dibantu oleh barisan urusetia yang terdiri daripada En. Aloysius Dalinsing, En. Jumatin Justeh, En. Randolph Lojingau, En. James Tudol, En. Abdul Arzin Olin, Pn. Norhayati Jamud, Pn. Alina Tandok, Pn. Siti Haisah Onching, Cik Norifah Hj. Roger dan Cik Hasrina Olin.

Objektif utama penganjuran Hari Keluarga ini adalah sebagai platform untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama anggota dan keluarga. Selain itu, ianya dapat memberi ruang kepada semua lapisan pegawai dan kakitangan untuk berinteraksi secara lebih santai dan kasual sekali gus dapat mengenali dengan lebih dekat.

Sambutan ini dimulakan dengan gimik perasmian oleh En. Freddy Rantau, Pengarah Urusan Yayasan Usaha Maju merangkap Penasihat KO-YUM seterusnya ucapan alu-aluan oleh En. Abdul Hamid Sani, Timbalan Pengarah Urusan Yayasan Usaha Maju merangkap Pengerusi KO-YUM dan diikuti dengan senamrobik yang disertai oleh semua anggota KO-YUM dan keluarga.

Sesuai dengan tema Keluarga Ceria Membawa Bahagia #YUMCeria, Sambutan Hari Keluarga yang penuh ceria ini diserikan lagi dengan pelbagai aktiviti antaranya Sukaneka, Cabutan Tiket Bertuah dan persembahan karaoke.  Di antara aktiviti sukaneka yang diadakan ialah seperti Statue Dance dan Isi Air Dalam Botol untuk peserta kanak-kanak, Boling Kelapa, Belon Kereta Api dan Sports Dance untuk peserta dewasa manakala Makan Sampai Habis dan Lari Berpasangan untuk peserta keluarga.

Hadiah-hadiah yang menarik untuk Cabutan Tiket Bertuah telah disumbangkan oleh beberapa syarikat dan orang perseorangan.