Perutusan Khas Pengarah Urusan kepada Kakitangan dan Ahli Yayasan Usaha Maju, Sabah

Apabila program kredit mikro dimulakan lebih 25 tahun yang lalu, di mana saya bersama beberapa orang terlibat secara langsung, kami mempunyai impian untuk menjangkau semua golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini supaya dapat akses pinjaman. Malangnya, peluang itu telah diambil dari kami.

Sekarang adalah masa yang tidak menentu ‘uncertain times’. Tidak dapat saya bayangkan malah tiada siapa yang dapat meramalkannya namun semua orang telah terkesan akibat penularan COVID-19.

Melihat kepada keadaan tersebut, saya terpanggil untuk menyatakan sesuatu mengenainya dalam kontek YUM untuk perhatian kita bersama.

Tidak dapat dinafikan bahawa industri kredit mikro dilanda teruk, akibat wabak COVID-19 dan YUM tidak terkecuali. Ini adalah mungkin cabaran terbesar yang pernah saya dan anda hadapi. Semua aktiviti pinjaman terhenti dengan sekelip mata tanpa amaran menyebabkan kita amat terkesan, tidak dapat menjana pendapatan sedangkan mempunyai komitmen kewangan yang mendesak seperti membayar gaji, sewa pejabat, utiliti, caruman KWSP, pinjaman kerajaan, tunggakan GST dan sebagainya.

Kita melakukan segala yang mampu untuk mengurangkan kos agar dapat bertahan dan kembali ke landasan yang sepatutnya secepat mungkin dan membolehkan peminjam berniaga mengunakan perkhidmatan YUM.

Kita bersyukur sebab YUM masih mengekalkan kakitangannya. Mungkin kita tidak lah sampai ketahap pemotongan gaji atau menamatkan perkhidmatan kakitangan. Kita adalah sebuah keluarga yang besar yang terdiri lebih daripada 200 orang kakitangan yang bergantung kepada YUM untuk kebajikan dan kesejahteraan keluarga mereka. Saya mengucapkan terima kasih kepada warga YUM kerana pengorbanan dan berfikiran terbuka melihat kehadapan ketika kita menghadapi keadaan yang sukar ini.

Walaupun kita berhadapan cabaran ini, sebagai Pengarah Urusan saya memberi jaminan bahawa YUM adalah kukuh dan prihatin terhadap masa depan dan melayani pelanggan, ahli YUM. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli atas kesetiaan kepada perkhidmatan YUM selama ini dan saya harap anda terus menyokong kami. Saya harap keluarga dan orang yang anda sayangi sihat sepanjang masa ini dan dihindari dari COVID-19. Saya merasa kecewa dan memohon maaf sebab banyak rancangan kita bersama telah terjejas. Seperti agensi pemberi pinjaman lain, YUM terpaksa membatalkan sebilangan besar program dan aktiviti yang dirancang kerana sekatan PKP dalam usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Saya sedar dan tahu ramai daripada ahli-peminjam telah menyatakan kekecewaan sebab kehilangan punca pendapatan, pekerjaan dan sebagainya, tetapi saya menggalakkan anda supaya tidak berputus asa, terus cekal dan mencari alternatif dan peluang lain, memberanikan diri untuk mencuba aktiviti baru berasaskan ekonomi digital, perkhidmatan penghantaran, pemasaran di atas talian dan sebagainya. Sebagai peminjam anda layak Moratorium YUM selama enam (6) bulan untuk semua jenis pinjaman dan kami sangat menghargai anda. Moratorium terpaksa dilakukan atas dasar prihatin dan patuh kepada keputusan kerajaan dan percaya ianya adalah penyelesaian terbaik. Anda adalah di kalangan puluhan ribu peminjam kami, dan kami tidak sabar untuk melayani anda semula. Sama-sama lah kita berdoa agar wabak COVID-19 ini dapat dihapuskan serta merta.

Walaupun keputusan dibuat menangguhkan pembayaran balik pinjaman, namun aktiviti permohonan, penyerahan pinjaman dan Mesyarat Pusat akan berjalan sejurus PKP dihentikan dan keadaan selamat berbuat demikian. Demikian juga semua pejabat yang ditutup akan dibuka semula selepas PKP.

Sebenarnya, kami berusaha sedaya boleh untuk memberikan bantuan kepada setiap ahli menerusi moratorium, menghubungkan ahli dengan pihak berwajib untuk mendapatkan pakej bantuan kerajaan dan sebagainya. Tetapi kami sedar ini tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan sebenar puluhan ribu ahli serta keluarga yang besar.

Esok Rabu 15 hb April 2020 bermula lah pelanjutan PKP tahap tiga, sehingga 28 hb April 2020. Saat ini kita mungkin duduk di rumah sendiri atau bersama keluarga tersayang di seluruh pelusuk negeri, sementara itu, YUM memberikan perhatian pada empat tindakan penting untuk mendepani lanjutan PKP dan kesan COVID-19;

Pertama, meneruskan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi YUM melalui Moratorium dan menyebar luaskan nya agar barisan hadapan, pejabat cawangan, ahli-peminjam tahu di mana kedudukan mereka. Apa yang penting adalah kita menyediakan proses dan prosedur yang jelas untuk peminjam supaya mereka dapat kembali menjalankan perniagaan secepat mungkin apabila keadaan selamat berbuat demikian dan pada masa yang sama YUM dapat memberikan perkhidmatan seperti biasa. Ini sangat penting sebab tindakan ahli dan usahawan juga membantu proses memulihkan YUM. Ini adalah tindakan menang-menang kedua-dua pihak YUM dan peminjam. Win-win situation for YUM and borrowers.

Tidak ada aktiviti kutipan pinjaman dalam tempoh PKP. Aktiviti kutipan pinjaman hanya akan bersambung selepas 16 September 2020. Walau bagaimanapun, aktiviti pengambilan ahli baru, penerimaan permohonan, pengeluaran pinjaman dan Mesyuarat Pusat akan bermula sebaik PKP dihentikan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard atau SOP yang akan ditentukan kemudian.

Program moratorium tersebut akan melibatkan kewangan ‘opportunity cost’ yang besar bernilai puluhan juta ringgit dan sudah tentu mempengaruhi aliran tunai YUM. Namun begitu, adalah diharapkan penangguhan pembayaran balik pinjaman ini sedikit sebanyak dapat membantu meringgankan beban kewangan peminjam seterusnya berazam untuk bangkit semula kelak.

Kedua, menggalakkan ahli dan usahawan kembali berniaga secepat mungkin. Kita akan terus melakukan apa sahaja yang dapat membantu usahawan bangkit semula dalam perniagaan mereka. Kita tidak mahu mereka bermula dari sifar. Kita mempunyai pasukan pengurusan, rangkaian cawangan dan komuniti ahli di peringkat Pusat / kampung, Jawatankuasa Ketua Pusat (JKePYUM) peringkat daerah dan Majlis Perwakilan Ahli (MPA YUM) peringkat negeri yang hebat, kreatif, inovatif dan sanggup bekerjasama meneroka peluang-peluang yang ada. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka semua.

Sebagai langkah pemulihan, kita akan mencadangkan peruntukan geran kewangan ‘one-off’ kepada kerajaan untuk membantu usahawan yang terjejas teruk oleh COVID-19.Selain itu pinjaman inovasi juga sedang dirancang untuk memenuhi permintaan peminjam.

Ketiga, menstruktur dan menyusun semula kalendar program dan aktiviti korporat, bukan hanya untuk tahun ini tetapi tahun-tahun yang akan datang.

Dan, yang keempat, kita terus mengenalpasti dan memantapkan langkah-langkah dan strategi untuk membangunkan usahawan dan memacu YUM ke hadapan.

Langkah-langkah tersebut adalah tindakan bijak dan sebagai persiapan awal sehingga apabila tiba masanya, kita sudah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakannya. Maka kearah itu, semua ketua bahagian dan unit diarah untuk menyediakan pelan strategi masing-masing. Ahli dan usahawan juga digalakkan melakukan perkara yang sama.

Kita tidak pernah mengalami keadaan seperti ini sebelumnya dan kita komited melakukan yang terbaik. Sebagai insan biasa, kita tidak sempurna tetapi kita berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk ahli. Saya berpendapat keadaan ini adalah sementara dan kita akan kembali, lebih kuat, dan semua orang mendapat peluang pemulihan dan berupaya bangkit semula. Melihat kepada keadaan selepas ini, mungkin ada kebenaran apa yang dikatakan, “kehidupan kita mungkin tidak akan sama dengan kehidupan sebelumnya”, oleh itu kita harus bersedia berhadapan dengan kebiasan baharu ‘the new normal’.

Sehingga kita berjumpa lagi...

“Stay strong, stay healthy, God willing we will succeed. Remember, after the rain, comes the sun. And better days be here again”. YAB PM Malaysia TSMY

Duduk di rumah. Jaga kesihatan. Dan pandang lah ke masa depan.

Sekian.

Freddy Rantau

Pengarah Urusan

 

Selaras dengan usaha kerajaan untuk membantu peniaga dan usahawan yang terjejas akibat wabak Covid-19, Yayasan Usaha Maju telah bersetuju Penangguhan Pembayaran Pinjaman Yayasan Usaha Maju

Selaras dengan usaha kerajaan untuk membantu peniaga dan usahawan yang terjejas akibat wabak Covid-19, Yayasan Usaha Maju telah bersetuju untuk memberi penangguhan pembayaran balik pinjaman semua produk pinjaman YUM selama enam (6) bulan berkuatkuasa dari 17 Mac 2020 sehingga 16 September 2020.

Langkah ini akan memanfaatkan  lebih kurang 20,000 orang peminjam YUM dan dijangkakan melibatkan sejumlah lebih RM36 juta.

Pengurusan YUM juga akan mengumumkan beberapa langkah-langkah dan strategi untuk kepentingan bersama sejurus Perintah Kawalan Pergerakan berakhir dan seterusnya.

 

PENGARAH URUSAN

Yayasan Usaha Maju

 

PENGENALAN

Skim Pinjaman Usahawan Kecil dan Sederhana (SPKS) adalah perkhidmatan pinjaman penjanaan pendapatan di bawah Program Kredit Mikro YUM, yang ditawarkan kepada Ahli Yayasan Usaha Maju yang berkelayakan untuk meningkatkan lagi tahap keusahawanan mereka menerusi penggunaan modal yang lebih besar.

KUMPULAN SASAR

Kumpulan sasar program ini adalah usahawan wanita dari kalangan Ahli YUM yang telah mencapai prestasi pinjaman yang cemerlang dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

SYARAT DAN KELAYAKAN MEMINJAM

  • Ahli YUM yang masih aktif
  • Mempunyai pusat yang aktif dan lengkap (5 hingga 35 orang)
  • Memiliki perniagaan yang mempunyai nilai jualan tahunan berjumlah RM300,000.00 dan ke atas.

JUMLAH PINJAMAN

Jumlah pinjaman yang ditawarkan adalah RM101,000.00 sehingga RM250,000.00

MOD DAN TEMPOH BAYARAN BALIK PINJAMAN

Mod bayaran balik adalah secara mingguan bermula selepas empat minggu penyerahan pinjaman. Tempoh bayaran balik adalah 50, 100, 150, 200 atau 250 minggu.

PERUTUSAN TAHUN BARU TAHUN 2020

OLEH

PENGARAH URUSAN YAYASAN USAHA MAJU

Sungguh cepat masa berlalu, tanpa disedari kita sudah diambang  tahun baru 2020 yang merupakan tahun keramat kepada Wawasan 2020 negara kita.  Pastinya tumpuan rakyat adalah kepada pencapaian wawasan tersebut. Namun pencapaian itu bergantung kepada sejauh mana hasil sumbangan oleh semua pihak selama ini.

Kita bangga berada di dalam era wawasan tersebut dan dalam kesempatan ini YUM akan cuba sebaik mampu untuk menyumbang kearah mencapai matlamat tersebut. Oleh itu ayuh warga kerja YUM kita bertekad tingkatkan komitmen, lipat gandakan lagi usaha serta optimumkan produktiviti.

Kita maklum bahawa salah satu faktor penting mencapai kejayaan ialah perancangan program dan aktiviti yang rapi dan disusuli dengan pelaksanaan yang cekap dan mantap. Pelaksanaan pula dipantau secara yang sistematik dan berterusan. Sehubungan itu saya menyeru agar pegawai menyediakan perancangan program dan aktiviti bagi tahun 2020.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga kerja YUM di atas kerjasama dan sumbangan menjayakan agenda pembangunan YUM selama ini khususnya bagi tahun 2019. Kalau bukan warga kerja YUM siapalah saya. Saya harap kerjasama ini akan berterusan dan ditingkatkan lagi pada masa akan datang bagi mencemerlangkan lagi YUM.

Akhir kata, dikesempatan ini, saya serta seisi keluarga ingin mengucapkan selamat hari Kristmas kepada semua yang meraikannya dan selamat menyambut tahun baru tahun 2020 yang akan menjelang tiba tidak lama lagi. Semoga kita diberikan keberkataan, kesihatan dan kekuatan  untuk mengharungi cabaran mendatang pada tahun baru nanti. Mudah mudahan tahun 2020 adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Salam hormat.

PERUTUSAN TAHUN BARU 2019

PENGARAH URUSAN YAYASAN USAHA MAJU

Sungguh cepat masa berlalu, kini kita sudah di penghujung tahun 2018 dan tahun baru bakal tiba tidak lama lagi.

Pastinya banyak peristiwa yang berlaku sepanjang tahun ini antaranya yang bersejarah ialah pilihan raya umum ke empatbelas atau PRU-14 yang mana dikuasai kerajaan yang baharu pimpinan Pakatan Harapan.

YUM telah mengharungi cabaran tahun 2018 dan sudah bersedia melangkah ke tahun baru 2019. Saya ingin merakamkan setinggi – tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga YUM kerana telah menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik sepanjang tahun 2018.

Kita bersyukur oleh sebab pencapaian YUM pada keseluruhannya adalah memuaskan. Jika sekiranyanya YUM merekodkan lebihan atau surplus pada tahun ini menjadikan pencapaian lebihan tiga tahun berturut-turut. Prestasi ini jelas menunjukkan YUM masih berada di landasan yang betul. Kita harap prestasi ini dapat dikekalkan dan ditingkatkan lagi pada masa akan datang.

Sehubungan itu saya ingin mengesa kakitangan agar meningkatkan komitmen dan produktiviti serta kesungguhan melaksanakan tanggungjawab berlandaskan kepada budaya kerjasama yang jitu dan amanah pada tahap tertinggi. YUM sentiasa mengutamakan integriti yang tinggi dikalangan kakitangannya dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kakitangan yang melakukan jenayah pecah amanah, bermasalah disiplin kerja serta kesalahan-kesalahan lain. Tindakan tegas akan diambil keatas kakitangan yang berkenaan. Amalan-amalan yang tidak produktif dipejabat juga perlu dielakkan.

Akhir kata saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari Kristmas 2018 kepada yang meraihkannya dan selamat menyambut tahun baru 2019. Semoga tahun baru ini akan membawa banyak pembaharuan, kebaikan dan kesihatan kepada kita semua.

Sekian.