Pengenalan
Apakah

Yayasan Usaha Maju atau ringkasnya YUM ditubuhkan pada 30 Jun 1995. Ia merupakan sebuah Badan Amanah berdaftar dengan nama “THE REGISTERED TRUSTEES OF YAYASAN USAHA MAJU” di bawah  Ordinan  Amanah (Pemerbadanan)  1951 Cap. 148 (Sabah). YUM bermula sebagai sebuah projek perintis di Kota Marudu pada tahun 1988 dan berkembang ke seluruh negeri Sabah pada tahun 1989 sebagai sebuah projek di bawah Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah.

Pada bulan Jun 1995, YUM telah menjadi sebuah institusi kredit mikro. YUM kemudiannya diletakkan di bawah pengawasan Kementerian Kewangan pada bulan Jun 2006. Aktiviti utama YUM adalah menyediakan perkhidmatan Kredit Mikro berasaskan model Bank Grameen, Bangladesh yang disesuaikan dengan keadaan di Malaysia khususnya di Sabah. Kumpulan Sasar YUM ialah para wanita yang terdiri dari surirumah, ibu tunggal, peniaga kecil-kecilan, petani, penternak, nelayan dan usahawan kecil yang memerlukan modal bagi mengusahakan kegiatan-kegiatan ekonomi yang akan menjana pendapatan. Konsep pengoperasian program kredit mikro YUM adalah memfokuskan kepada kumpulan sasar miskin; tanpa penjamin; tanpa cagaran; dan mengutamakan tanggungjawab berkumpulan (collective responsibility). Semenjak penubuhannya, YUM telah berjaya membantu kumpulan sasar dengan mengusahakan dan menjana pendapatan menerusi aktiviti perniagaan dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan, perniagaan jual beli, pemprosesan, pertukangan dan pekhidmatan. Pada masa ini YUM beroperasi menerusi 23 buah cawangan melibatkan tujuh kawasan di seluruh negeri Sabah.