YUM telah menyertai gerai pemeran sempena Hari Terbuka Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi Dan Pelaburan Sabah (SEDIA) pada 26 hingga 28 November 2019 di Bangunan Auditorium, Sabah Agro-Industrial Precinct, Kimanis.

Program ini telah dianjurkan oleh SEDIA dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie Bin Haji Apdal, Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi SEDIA.

Antara objektif penganjuran Hari Terbuka ini adalah untuk memberi pendedahan kepada orang awam serta pihak-pihak berkepentingan terhadap halatuju dan dasar-dasar semasa Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui pameran prestasi dan hasil pelaksanaan program dan inisiatif khususnya di bawah SDC.  Para rakan kerjasama strategik SEDIA terutamanya TERAJU dan lain-lain agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, pihak swasta seperti PKS juga berpeluang untuk menjalinkan rangkaian kerjasama untuk mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Selain daripada memberi maklumat mengenai produk dan perkhidmatan YUM kepada para pengunjung, YUM juga telah menjemput dua orang usahawan iaitu Pn. Siti Jaliha Yusof dan Pn. Jamisah daripada Cawangan Papar untuk mempamer dan menjual produk mereka seperti kuih-kuih kering dan tepung goreng serbaguna.

Selepas perasmian majlis, YAB DSP Ketua Menteri telah membuat lawatan ke gerai-gerai pameran Jabatan/Agensi/Organisasi termasuk gerai pameran YUM.