Agihan Pinjaman Mengikut Sektor Ekonomi

Pn. Siti Jaliha Yusof daripada Pusat Kg. Lanas, Kimanis, Cawangan Yayasan Usaha Maju (YUM) Papar, merupakan ahli YUM yang pertama menerima Skim Pinjaman Perusahaan Kecil Dan Sederhana (SPKS) berjumlah RM150,000.00.  Pinjaman berkenaan diserahkan sendiri oleh Pengarah Urusan YUM, En. Freddy Rantau dalam satu majlis ringkas sempena Mesyuarat Pusat Kg. Lanas, Kimanis Papar pada 15 Januari 2020.  Menurut Pn. Siti Jaliha, pinjaman ini akan digunakan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran kuih-muih tradisional terutamanya kuih cincin iaitu produk perniagaannya yang utama sejak lebih 10 tahun yang lalu.  Sebahagian pinjaman berkenaan akan digunakan untuk menambah dua buah lagi unit rumah sewa dan juga sebagai modal awal bagi pembinaan rumah burung walit.

SPKS adalah produk pinjaman YUM yang baru dan mensasarkan kategori ahli Usahawan YUM yang telah mencapai atau melebihi jumlah jualan kasar setahun di atas RM300,000.00 daripada perniagaan atau perusahaan yang mereka jalankan melalui pembiayaan YUM sebelumnya.  Skim pinjaman SPKS yang baru sahaja dilancarkan oleh YUM pada penghujung tahun 2019 adalah bertujuan untuk menyokong pembangunan perniagaan ahli-ahli Usahawan YUM yang memerlukan pembiayaan kewangan yang lebih besar sehingga RM250,000.00.