Informasi Terkini

Pada 24 Mac 2016 Jawatankuasa Ekonomi Majlis Penasihat Wanita Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Beluran telah mengadakan Seminar Keusahawanan Wanita 2016 bertempat di Dewan Serbaguna, Beluran.

Seminar ini menyasarkan usahawan wanita dan bakal usahawan wanita di daerah Sandakan dan daerah yang berhampiran yakni seramai 100 orang peserta telah menghadiri seminar ini yang sebahagian besarnya adalah ahli-ahli YUM.

Pengarah Urusan YUM En. Freddy Rantau yang juga selaku Pengerusi Penganjur dalam  ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa perlunya kerjasama pelbagai pihak untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk memperkasakan golongan wanita khususnya dalam aspek sosio-ekonomi.  Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa YUM akan terus memainkan peranan yang aktif bagi mencapai matlamat ini.

Antara objektif dalam seminar tersebut ialah:-

i.   Menyebarluas maklumat tentang celik kewangan kepada para usahawan dan bakal usahawan wanita.

ii.  Memberi kesedaran tentang peluang-peluang perniagaan terkini.

iii. Memberi peluang kepada institusi kewangan atau bank untuk mempromosikan perkhidmatan dan produk-produk pinjaman mereka.

iv. Sebagai saluran atau platform untuk menerima maklumbalas daripada masyarakat setempat berhubung isu semasa atau masalah berkaitan keusahawanan wanita.

Beberapa program telah diatur oleh pihak penganjur termasuklah ceramah daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit dan SWEPP Academy, Penampang. Manakala pihak YUM turut mengambil bahagian dalam forum dan pameran agensi pembiayaan.