"Handmade Market" adalah satu landasan untuk menjana pendapatan bagi mereka yang berminat dalam menghasilkan produk kraftangan melalui seni jahitan kreatif. Ide program ini telah dicetuskan oleh Pusat Latihan Kraftangan Epal dengan usahasama Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK). Majlis perasmian Handmade Market Peringkat Negeri Sabah telah disempurnakan oleh Toh Puan Sabah, Yang Amat Berbahagia Datuk Seri Panglima Hajah Norliah Binti Tan Sri Datuk R.M. Jasni pada 25.5.2016. Handmade Market Pertama di Sabah ini akan menjadi platform untuk wanita berkecimpung dalam bidang seni jahitan kreatif untuk memasarkan produk mereka. Antara objektif penubuhan Handmade Market berkenaan adalah;

  • Memberikan satu platform kepada wanita dan juga perintis jahitan untuk memasarkan produk jahitan mereka.
  • Mewujudkan peluang keusahawanan yang mementingkan kecemerlangan seimbang antara kerjaya dan keluarga.
  • Mencipta kerjasama, muafakat dan saling menyokong antara pihak NGO dan kerajaan dalam usaha bersama untuk menyokong golongan kurang berkemampuan agar boleh berdikari dan menjana pendapatan sendiri.
  • Melahirkan usahawan yang mempunyai daya saing tinggi melalui penghasilan produk-produk yang kreatif dan inivatif serta memenuhi kehendak pasaran tempatan mahupun sektor pelancongan.
  • Medan pemasaran produk kraf negara yang menemukan golongan pembuat produk dengan pembeli secara terus tanpa menggunakan orang tengah serta peluang mencipta rangkaian perniagaan yang baru.
  • Perintis bakal usahawan Malaysia yang seimbang kecemerlangannya antara kerjaya, keluarga dan kemasyarakatan.

YUM melalui Unit Pembangunan Keusahawanan dan Pemasaran menyokong penuh penubuhan Handmade Market ini sebagai usaha untuk membantu usahawan kraf dan jahitan kreatif meningkatkan kemahiran serta menerokai potensi pasaran yang baharu.